Thursday, August 13, 2009

006

//Kesenian Buddhis//

[credit:redbuble -buddhastatue]

Kesenian Buddhis bermula selepas Buddha meninggal dunia. Pada masa kesenian Buddhis telah mencapai tahap kemuncaknya, masih tiada sebarang langkah awalan diambil untuk menganggapnya sebagai keramat sehingga 4 abad selepas Buddha meninggal dunia. Walaupun Gandha-kuti adalah tempat kediaman Buddha yang tetap, tetapi Buddha tidak sentiasa menetap di situ. Sebab itulah timbulnya masalah yang berkaitan dengan tempat keramat. Persoalan mengenai dengan jenis simbol atau tempat keramat yang sesuai yang dipersetujui oleh Buddha untuk dijadikan tempat upacara/penghormatan semasa peninggalanNya pun juga timbul (di dalam Kalingabodhi Jataka).


Jawapan Buddha berkenaan perkara di atas ialah, Beliau patut diwakili oleh Pokok Yang Maha Bijaksana (Maha-bodhi-rukkha) semasa Beliau masih hidup dan diwakili oleh sarira iaitu sisa-sisa tulang selepas mayat dibakar. Buddha tidak setuju dengan menggunakan barang untuk menandakan barang-barang keramat yang anthropomorphik, sebab Buddha menganggapkannya sebagai barang-barang khayalan yang tiada asas.

[nota: saya menganggap Buddha sendiri tidak menghalalkan pem-berhala-an]

Oleh hal yang demikian, kesenian Buddhis yang awal menggambarkan Buddha sebagai pokok Bodhi, Bilik yang wangi, Roda Hukum, bekas tapak kaki (pada-valanja), timbunan batu berbentuk piramid (stupa), pelana kosong atau takhta, atau sekaki payung. Payung masih melambangkan simbol raja di negara-negara Timur.


Buddha mulai diwakili dalam bentuk manusia pada abad pertama S.M. Walaubagaimanapun, imej Buddha yang biasa terdapat mencerminkan Buddha sebagai Penduduk Yang Sangat Baik, orang yang terbaik, orang Kosmik atau dengan secara langsung menetapkan imej beliau dalam bentuk Yakkha-Agathos, Daimon atau Tutelary Genius. Imej demikian adalah selaras dengan hakikat bahawa Buddha sendiri adalah Yakkha yang patut diperkorbankan, bersama dengan doktrin Kesucian Yakkha, dan dengan latarbelakang berkenaan pre-Buddhis Sakya, Licchavi dan sistem agama Vajji Yakkha, yang mana Buddha sendiri telah menasihati orang-orang Vajji supaya jangan mengabaikan kewajipan kebiasaan mereka.


Sebagai Bodhisatva, beliau disalahanggap sebagai roh pokok di mana beliau duduk. Dalam Jetavana dan kesenian Buddhis yang awal, Buddha diwakili sebagai tempat keramat pokok (rukkha-cetiya). Begitu juga untuk Yakkha, kuil-kuil adalah kediaman yang digemari oleh Buddha dalam masa perjalanan Beliau dari satu tempat ke tempat yang lain.

Kesenian India telah dipengaruhi oleh perkembangan dan sifat-sifat imej Buddha yang berlainan. Sifat imej Gandhara ialah rambut yang ikal dan unhisa (tonjol di bahagian atas kepala). Kepala yang tidak berambut dan unhisa yang tersembul adalah imej Buddha dari Mathura. Imej Buddha dari Amaravati biasanya mempunyai salib (swaatika) di atas kaki. Imej Buddha dari Gupta kebanyakannya mempunyai sesuatu lingkaran cahaya di sekeliling kepala dan kain lutsinar yang berlipat.


Pada umumnya, terdapat 3 jenis bentuk Buddha:

(1) Thana - bentuk berdiri
(2) Asana - bentuk duduk
(3) Sayana - bentuk baring


Imej Buddha yang berdiri menunjukkan Beliau berdiri sama ada atas bumi, di udara atau atas air. Imej Buddha berdiri atas bumi menunjukkan Beliau memberi atau menerima hadiah, merenung pada pokok Bo, berjalan sambil bersemadi, dalam perjalanan untuk menerima dana, atau menaikkan tapak tanganNya seakan-akan menyatakan "jangan bimbang" (abhaya mudra)


Imej Buddha yang berdiri di udara menunjukkan Beliau sedang melakukan fenomenon Twin Wonder(berada di 2 tempat pada masa yang sama) di Kapilavatthu, atau pulang dari Devaloka Tavatimsa selepas memberi syarahan kepada ibuNya Maha Maya. Beberapa imej menunjukkan Buddha berdiri di atas air bah di Uruvela pada masa menukar kepercayaan Uruvela Kassapa.


Di bawah kategori kedua, terdapat 3 jenis corak duduk.

(1) Padmasana (posisi teratai), posisi samadhi (penumpuan), duduk bersila dengan tangan kanan terletak di atas tangan kiri.

(2) Bhadrasana (posisi bertuah), kedua-dua kaki berjuntai ke bawah dan biasanya Beliau berehat di atas lantai atau tempat letak kaki. (seperti imej di Chandi Mendut, Jawa)

(3) Lalitasana (posisi lemah gemalai), satu kaki berjuntai ke bawah tetapi yang satu lagi bersilang. Posisi ini adalah popular bagi imej Bodhisatva dan imej orang Tibet.


Beberapa imej menunjukkan Buddha dengan kedua-dua kakiNya berehat di atas lantai seperti yang menggambarkan Buddha melaksa nakan fenomena `Twin Wonder' di Gua Mango. Gaya ini juga digunakan untuk menggambarkan Buddha berangkat naik ke udara dalam posisi duduk.
Sekiranya kedua-dua kategori yang pertama dan kedua menunjukkan peristiwa penting dan merupakan amalan harian dalam hidup Buddha, kategori ketiga hanya menunjukkan Beliau dalam posisi terbaring(di atas katil kematianNya).


Imej dalam kategori-kategori pertama dan kedua (berdiri dan duduk) juga mempamerkan salah satu daripada pergerakan dengan tanganNya.(mudra)

(1) Perlindungan (abhaya mudra):Tangan kananNya diangkatkan dengan tapak tangan menghala ke arah seseorang, seolah- olah mengatakan "Jangan takut".

(2) Menganugerah (varada): Tangan kanan dihulur ke hadapan, dengan tapak tangan menghala ke atas seperti dalam pemberian rambut azimat kepada 2 orang saudagar.

(3) Meditasi (jhana atau samadhi): Tangan kanan terletak di atas tangan kiri. Gaya ini biasa dikaitkan dengan posisi teratai (Padmasana).

(4) Bersyarah (vyakarana): Kedua-dua belah tangan dinaikkan seperti dalam reaksi menyampaikan syarahanNya. Satu contoh terkenal untuk gaya ini ialah imej Syarahan Pertama yang didapati di Sarnath.

(5) Bertanya (vitakka): Kedua-dua belah tangan dinaikkan semasa menyoal atau dalam renungan yang serius. Gaya ini lebih biasa didapati pada imej Bodhisatva.

(6) Memanggil bumi untuk menjadi saksi (bhumi-samphassa): Hujung jari tangan kanan menyentuh bumi semasa Mara mencabar akan hakNya untuk duduk di bawah pokok Bodhi. Bumi bergempa membuktikan kesucian Bodhisatva.


Ketenteraman yang dipamerkan oleh imej Buddha mencerminkan summum bonum Buddhisme: pembebasan dari kesedihan.

Tiada imej Buddha yang menunjukkan perasaan ketakutan, kesengsaraan, kesakitan atau putus harapan. Sebaliknya, imej Buddha adalah imej yang bergaya tenang dan menyenangkan; satu simbol dengan penuh keindahan seni yang seimbang, satu objek untuk direnung dengan mendalamnya. Imej Buddha melambangkan matlamat hidup kita, dan mengingatkan kita tentang kewujudan benih Buddha yang ada dalam diri kita yang menunggu masa untuk bercambah kepada Pembebasan Tertinggi.


Jika ada sesiapa, yang menganggapkan kita sebagai pemuja patung, maka bolehlah dijelaskan tanggapan kita, bahawa kita bukan memuja imej Buddha tetapi menghormati apa yang dilambangkan oleh imej itu. Apa yang kita lakukan adalah sama dengan patriot-patriot yang mengangkatkan topi mereka semasa perarakan panji-panji (bendera) melintasi di depan mereka, atau meletakkan karangan bunga di hadapan Tugu Peringatan Pahlawan. Tidak ramai yang boleh menerima sinaran cahaya Kebenaran yang terdedah secara langsung. Kebanyakan daripada kita perlu memandang Kebenaran ini melalui simbol-simbol yang sesuai. Pada biasanya orang yang menganggapkan dirinya terlalu bijak dan tidak memerlukan simbol ini, dan mentertawakan orang lain yang memerlukan simbol-simbol itu, pada hakikatnya merekalah pemuja berhala yang teruk sekali kerana mereka memujakan imej diri sendiri.

nota kaki:

Perkataan "Buddha" bermaksud "telah mencapai Pencerahan Sempurna" atau "telah mencapai kesedaran". Ianya adalah satu gelaran kepada sesiapa yang telah mencapai Pencerahan yang tertinggi dan sempurna. Buddhis mempercayai Buddha sudah ada dan akan wujud dengan tidak terkira bilangannya. Buddha yang terdapat pada masa ini iaitu Gotama/Gautama, hidup lima abad terdahulu daripada Nabi Isa, lebih kurang hidup sezaman dengan Confucius di China, Parmenides di Yunani, Zoroaster di Iran dan Isaih, seorang nabi Yahudi.

Buddha dilahirkan di Taman Lumbini, terletak di kawasan Rummindai moden di Nepalese Terai sekarang. IbubapaNya adalah Raja Suddhodana dan Permaisuri Maha Maya. Nama peribadinya ialah Siddhattha (Harapan telah dipenuhi). Nama keluarganya Gotama, dan kaumnya adalah Sakya. Oleh kerana Beliau cuba mencari kebenaran, Beliau dikenali "Sakyamuni", yang bermakna orang Sakya yang bijaksana.

Selama 6 tahun, beliau menjalani hidup pertapaan melampau, badan yang lemah itu tidak dapat membantunya dalam menemui hasratnya. Kemudian, beliau menghindari daripada 2 ekstrim iaitu yang menjauhkan penyeksaan diri sendiri dan keseronokan hawa nafsu yang keterlaluan. Beliau mencapai Pencerahan Sempurna pada usia 35 tahun dan seterusnya menjadi Buddha. Buddha menyebar Ajaranya selama 45 tahun dan meninggal dunia pada umur 80 tahun.

[credit goes to an anonymous writer of this article]