Tuesday, August 11, 2009

004

'Iraqi, Al-Jilli dan Jami, mengatakan sifat-sifat Tuhan yang pada hakikatnya adalah Cinta; telah terkandung di dalam kalimah suci Bismi Allah Ar-Rahman Ar-Rahim. Di dalam perkataan Bismillah itu terdapat dua macam Cinta Tuhan iaitu 'rahman' dan 'rahim'. Rahman dan rahim berasal dari perkataan sama iaitu rahma (rahmat). Rahman adalah rahmat tuhan yang bersifat esensial (dzatiyah) dan rahim adalah rahmat Tuhan yang bersifat wajib (wujub). Dikatakan esential kerana sifat rahman Tuhan atau wujud rahman-Nya berlaku atas segala ciptaan-Nya dan atas segala manusia. Segala ciptaan di alam semesta tidak terbebas dari rahman-Nya. Semua memperoleh kewujudan kerana rahman-Nya, dan diliputi oleh pengetahuan-Nya yang termanifestasikan kerana dorongan Cinta.

Di lain hal, rahim disebut rahmat-Nya yang wajib sebab ia wajib dilimpahkan kepada orang-orang tertentu yang mencintai-Nya dengan penuh kesungguhan, yakni orang-orang mukmin dan muttaqin yang saleh, beramar makruf nahi mungkar dan sungguh-sungguh melakukan mujahadah, sehingga akhirnya musyahadah, dan mukasyafah.

Gagasan ini diekspresikan dengan jelas oleh Syeikh Hamzah Fansuri di dalam syair didaktisnya:

Tuhan kita yang bernama Qadim
Pada sekalian makhluk terlalu karim
Tandanya qadir lagi hakim
Menjadikan alam dari Ar-Rahman Ar-Rahim

Rahman itulah yang bernama
Sifat Tiada bercerai dengan kunhi Zat
Di sana perhimpunan sekalian ibarat
Itulah hakikat yang bernama ma'lumat

Rahman itulah yang bernama Wujud
Keadaan Tuhan yang sedia ma'bud
Kenyataan Islam, Nasrani dan Yahud
Dari Rahman itulah sekalian maujud


Ma'bud itulah yang terlalu bayan
Pada kedua alam kull qawm huwa fi sya'n
Ayat ini daripada Surah Ar-Rahman
Sekalian alam di sana hairan

Ma'bud itulah yang bernama haqiq
Sekalian alam di dalamnya ghariq
Olehnya itulah sekalian fariq
Pada kunhi-Nya tiada beroleh tariq

Hakikat itu terlalu 'iyan
Pada rupa kita sekalian insan
Ayna-ma tuwallu suatu burhan
Fa tsamma wajhu Allah pada sekalian maqan

Insan itu terlalu 'ali
Hakikat Rahman yang maha baqi
Ahsanu taqwimi itu rabbani
Akan kenyataan Tuhan yang bernama subhani

Subhani terlalu 'ajib
Dari habl al-warid pun Ia qarib
Indah sekali qadi dan khatib
Demikian hampir tiada bernasib

Aho segala kita yang 'asyiqi
Ingat-ingat akan ma'nn insani
Jika sungguh engkau bangsa ruhani
Jadikan dirimu rupa sultani

Kenal dirimu hai anak 'alim
Supaya engkau nentiasa salim
Dengan dirimu yogya kau qa'im
Itulah hakikat salat dan sa'im

Dirimu itu bernama khalil
Tiada bercerai dengan Rabb Al-Jalil
Jika dapat ma'na dirimu akan dalil
Tiada berguna madzhab dan sabil

Kullu man 'alay-ha fanin ayat min Rabbihi
Menyatakan insan irji'i illa asliki
Akan insan yang beroleh tawfiqihi
Supaya karam di dalam sirru sirrihi

Situlah wujud sekalian fanun
Tinggallah engkau daripada mal wa'l-banun
Engkaulah 'asyiq terlalu junun
inna li'llahi wa inna ilayhi raji'un


Hamzah gharib unggas quddusi
Akan rumahnya Bait Al-Ma'muri
Kursinya sekalian kapuri
Min al-asyjari di negeri Fansuri

[dipetik dari: Hamzah Fansuri: Risalah Tasawwuf dan Puisi-puisinya]